Friday, 9 January 2009

Santai: Bekas Menteri Dipanggil

Seorang bekas menteri pertahanan Israel (menurut Syed Mikael Rizal Aidid, 2006) dilaporkan telah mendedahkan kelemahan sistem ketenteraan negara Zionis itu melalui satu penulisan yang diterbitkan dalam bahasa Arab. Tindakan yang seakan ‘membuka pekung di dada’ ini mendapat teguran kerajaan Israel dan bekas menteri itu dipanggil untuk memberi penjelasan. Dengan nada tenang beliau menjawab “Jangan risau, kalau umat Islam lalu di kedai buku pun, mereka takkan singgah, kalau singgah pun mereka takkan beli majalah yang ilmiah sifatnya, kalau beli majalah sebegitu pun mereka bukannya faham, kalau faham pun mereka takkan bertindak, dan kalau bertindak pun tindakan mereka takkan meninggalkan kesan yang sedikit pun kepada kita.”
Sepatutnya tidak terjadi konotasi sedemikian terhadap umat Islam kerana ayat pertama yang diturunkan oleh Allah ialah Iqra’ iaitu perintah untuk membaca dan bukannya lima perintah yang menjadi pra-syarat keislaman (Rukun Islam: mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, zakat & haji). Malah kalau diikutkan logik akal, tentulah perintah yang pertama seharusnya agar Rasulullah S.A.W. menyeru umatnya menghancurkan 360 buah patung berhala yang berada di sekitar Kaabah pada ketika itu
Umat Islam (termasuk orang Melayu???) pada hari ini dikatakan amat malas membaca & kalau gemar membaca pun lebih cenderung membaca bahan-bahan berunsur karut, seram, hiburan dan seks. Tabiat buruk tersebut telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh para intelektual Yahudi. Dengan mengetahui tabiat tersebut mereka bertindak ‘mengacah’ dan mempelekehkan kekuatan pemikiran umat Islam bukan sahaja di rantau Arab malah di seluruh dunia.
Catatan:
1. Penulisan ini adalah adaptasi dari bahan yang terdapat di laman web http://www.sahc.kedah.edu.my/.
2. Kandungan bahan ini boleh dijadikan renungan kerana mempunyai signifikan dengan serangan Israel ke atas Palestin yang sedang berlaku.

No comments:

Post a Comment