Monday 20 December 2010

Jamung: On 'Mencari Jawapan'

~ Masjid Nabawi, Madinah : Haji 2005/2006 ~
Ayah Solehah pernah ditanya oleh seorang kerabat terdekat tentang mengapa ada individu mendapat keputusan peperiksaan cemerlang walaupun bukan kaki buku. Tiada jawapan pasti pada masa tersebut. Namun ketika membaca buku 'Paksi 40 Imam Nawawi Menegakkan Agama Melalui Hadis Rasullulah' baru-baru ini, ayah Solehah memperolehi sebahagian jawapannya. Sebuah hadis (Paksi 2 - direkodkan oleh Muslim) yang terdapat di dalam buku itu meriwayatkan bahawa:
Umar bin Khattab melaporkan, "Pada suatu hari semasa kami sedang duduk dengan Nabi Muhammad, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang memakai pakaian sangat putih bersih & rambutnya hitam berkilat. Tidak ada tanda-tanda beliau datang dari jauh. Tidak seorang pun antara kami mengenali orang itu. Lelaki itu datang lalu duduk betul-betul di depan Nabi Muhammad, sehingga kedua-dua lutut lelaki itu bersentuhan dengan kedua-dua lutut Nabi. Kemudian lelaki itu meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya di atas paha Nabi Muhammad, lalu bertanya, "Wahai Muhammmad! Terangkan kepada saya, apakah itu Islam?"
Jawab Nabi Muhammad, "Islam adalah kamu mengakui tiada Tuhan lain kecuali Allah & Muhammad itu pesuruh Allah, kamu bersembahyang, kamu membayar zakat, kamu berpuasa sepanjang bulan Ramadan, dan kamu menunaikan haji apabila mampu."
"Betul," kata lelaki itu.
Kami semua berasa hairan, kenapa pula beliau yang bertanya kemudian beliau pula yang menyatakan jawapan itu betul.
Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Terangkan kepada saya, apakah itu iman?"
Jawan Nabi Muhammad, "Kamu percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat-malaikatNya, percaya kepada kitab-kitab suci, percaya kepada para pesuruh Allah, percaya kepada akhirat, dan kamu percaya kepada takdir Allah, sama ada yang baik mahu pun yang buruk."
"Betul," kata lelaki itu.
Kemudian beliau bertanya lagi, "Terangkan kepada saya, apakah itu ihsan?"
Jawab Nabi Muhammad, "Kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu nampak Dia, dan apabila kamu tidak nampak Dia, kamu yakin Dia nampak kamu."
Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Terangkan kepada saya, bilakah kiamat akan terjadi?"
Nabi Muhammad menjawab, "Yang ditanya & yang bertanya sama-sama tidak tahu."
Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Oleh itu, terangkan kepada saya tanda-tanda akan berlaku kiamat."
Jawab Nabi Muhammad, "Apabila perempuan-perempuan hamba melahirkan majikan mereka sendiri, apabila orang yang tidak berkasut, orang yang telanjang, orang miskin dan para penternak kambing berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi."
Selepas mendengar jawapan Nabi Muhammad, lelaki itu pun pergi. Saya terdiam beberapa ketika sehingga Nabi Muhammad berkata, "Umar, tahukah saudara siapa lelaki itu tadi?"
Saya menjawab, "Allah dan pesuruhNya lebih tahu."
Kata Nabi Muhammad, "Lelaki itu adalah malaikat Jibrail. Beliau datang bagi menerangkan kepada saudara-saudara sekelian berkenaan agama saudara-saudara."
Berdasarkan hadis tersebut tips yang diberikan ialah:
  • Sentiasa berpakaian kemas & wangi. Kita perlu menjaga ketrampilan diri.
  • Hormati guru. Duduk dengan sopan di hadapan guru. Pelajar yang paling dekat dengan guru adalah pelajar terbaik.
  • Apabila hendak bertanya, kita perlu bertanya dengan sopan.
  • Jika kita disoal & kita tahu jawapannya, maka kita perlu menjawabnya.
  • Jika kita tidak tahu menjawab soalan yang dikemukakan, jangan malu untuk berkata, "Saya tidak tahu."
  • Pastikan setiap kelakuan kita dibenarkan oleh Allah.
  • Jangan sekali-kali melakukan perkara yang ditegah oleh Allah.
  • Yakinlah Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan.
  • Yakinlah Allah sentiasa mendengar perbualan kita.
  • Tanamkan dalam diri perasaan cintakan ilmu.
  • Siapkan diri kita bagi berhadapan dengan hari kiamat.
Catatan:
Dipetik dari buku 'Paksi 40 Imam Nawawi Menegakkan Agama Melalui Hadis Rasullulah' - hal. 4 - 9.

No comments:

Post a Comment