Saturday, 20 March 2010

Personal : Hydrotherapy

~ Unit Fisioterapi, HSB : 17/03/10 ~
Sudah tiga minggu (setiap petang Rabu) Solehah menjalani latihan 'hydrotherapy'. Latihan yang bertujuan menguatkan otot-otot kaki dijalankan di Unit Fisioterapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Unit tersebut adalah satu unit di Jabatan Rehabilitasi sesebuah hospital. Satu lagi unit ialah Unit Cara Kerja.
Kami tahu mengenai 'hydrotherapy' secara 'kebetulan' iaitu ketika mula mendapatkan rawatan fisioterapi di Hospital Besar Alor Setar (sebelum berpindah ke HSB). Walaupun terdapat kemudahan tersebut di hospital kerajaan, stafnya (satu ketika dulu) seolah-olah (hanya andaian) tidak mahu menggunakannya. Barangkali sebab kena salin pakaian. Justeru itu, ayah Solehah mengambil daya usaha belajar untuk mengendalikan sendiri latihan tersebut.
Pernah (bukan di HSB @ HKL - di sebuah hospital kerajaan di KL) beberapa tahun lalu, kami dikecewakan apabila rayuan untuk sekadar diberi tunjuk ajar ditolak (walaupun diarah oleh doktor pakar) hanya kerana tidak ada temujanji. Walaupun diterangkan bahawa kami datang dari jauh, permintaan tetap ditolak.
Alhamdulillah, bermula dengan Puan Lim, kini kami mendapat kerjasama yang amat baik daripada staf Unit Fisioterapi HSB. Malah Puan Lim pernah meminta ayah Solehah membantu pesakit-pesakit yang lain semasa di kolam.
Catatan:
Kami pernah ke Pusat Kanak-Kanak Sepastik Pulau Pinang untuk mendapat tunjuk ajar daripada Encik Bala (kalau tak salah ingatan), seorang guru yang dipinjamkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

No comments:

Post a Comment