Tuesday 30 November 2010

Jamung: On 'Azam Tahun Baru'

~ Solehah : 2010 ~
Kira-kira sebulan lagi kita akan menambut tahun 2011. Solehah akan naik tahun (darjah) empat. Keputusan peperiksaan akhir tahun Solehah menunjukkan sedikit peningkatan. Kalau tidak silap (tidak dapat dirujuk kerana Solehah telah sembunyikan slip keputusan tersebut), berkedudukan 21 berbanding 32 semasa peperiksaan pertengahan tahun, . Namun, masih mengecewakan jika dinilai dari segi bilangan subjek yang mendapat A.
Tahun baru selalunya dikaitkan dengan azam. Ayah Solehah tidak mempunyai azam yang khusus. Hanya berdoa agar kehidupan (amalan dunia & akhirat) keluarga & adik beradik sentiasa bertambah baik.
Namun pada awal tahun 2010 yang lalu, ayah Solehah menanam berhasrat untuk membaca sebuah buku setiap bulan - perkara paling mudah dunia (rujuk pos 01/12/09). Secara amnya, hasrat tersebut tidak tercapai kerana tidak konsisten dalam amalan. Walaupun begitu, dia berjaya membeli sekurang-kurangnya sebuah buku setiap bulan.
Catatan:
1. Sesuatu yang menarik ialah Solehah turut menerima tempias minat membaca. Dia turut meminta dibelikan buku cerita & membawa buku apabila hendak ke mana-mana. Namun seperti ayahnya, Solehah juga tidak konsisten dengan amalan tersebut.
2. Hasrat membaca sebuah buku sebulan akan diteruskan pada tahun 2011. InsyaAllah.

Monday 29 November 2010

Tahfifah: On 'Mengusik Jiwa'

~ Solehah & Syafiqah : Pasca Banjir 2010 ~
Melihat Solehah, orang akan tahu bahawa dia anak istimewa. Kerap kali akan ditanya sama ada Solehah boleh bertutur. Tidak kurang juga yang terkejut apabila mendengar Solehah bercakap. Begitulah tanggapan majoriti orang yang ditemui.
Ada juga yang ingin tahu sama ada Solehah bersekolah. Apabila diberitahu, mereka akan bertanya pula sama ada di sekolah khas atau di sekolah biasa. Ada juga memberi komen yang Solehah seharusnya dihantar ke sekolah khas. Ada juga yang bertanya mengapa tidak dihantar ke sekolah khas.
Persoalan, cadangan atau komen yang agak 'mengusik jiwa' tidak pernah memalukan ayah & mama Solehah. Malah amat berbangga dengan kemajuan yang dicapai oleh Solehah.
Berbicara tentang malu, salah seorang kerabat terdekat Solehah pernah (secara tidak serius) memberitahu agar pos di blog ini seharusnya tidak dapat dijadikan bahan yang 'mengusik jiwa' oleh rakan-rakan.
Bagi ayah Solehah, jiwanya sekali-kali (untuk kes Solehah) tidak akan terusik kerana berpegang kepada ungkapan:
I am nobody. Nobody is perfect. Therefore, I am perfect.
Catatan:
Syafiqah ialah sepupu Solehah.

Sunday 28 November 2010

Personal: On 'Meremajakan Anak'

~ Abang-abang Solehah : Penang Hill - Cuti Sekolah 2003 ~
Membaca pos sebelum ini, mama Solehah memberitahu bahawa terdapat satu lagi aktiviti khususnya dikalangan masyarakat Melayu semasa cuti sekolah. Aktiviti tersebut ialah bersunat (berkhatan) yang (bagi ayah Solehah) merupakan sebahagian proses 'meremajakan' anak-anak.
Berbeza dengan zaman ayah Solehah, kedua-dua abang Solehah disunatkan di sebuah klinik swasta - klinik rakan mama Solehah yang kemudian disusuli dengan sedikit kenduri arwah & tahlil. Namun, ayah Solehah tidak dapat mengingat secara pasti tarikh kedua-duanya 'diremajakan'. Kalau tak salah ingatan semasa mereka di darjah empat.
Yang masih dapat diingat (kalau tidak silap):
  • Arwah Tok Lang (adik nenek Solehah) & Wa Yon (abang sulung ayah Solehah) meneman abang sulung Solehah ke dalam bilik berkhatan.
  • Ayah Solehah & Pak Ndak Cet (adik ayah Solehah) menemankan abang kedua Solehah.
  • Reaksi kedua-dua abang Solehah semasa proses berkhatan adalah sama iaitu ... (biar rahsia - tetapi apa yang boleh dikatakan ialah mereka sama dengan kanak-kanak yang lain).
Catatan:
1. Ternyata setiap orang (termasuk Pak Ndak, Pak Cik & Pak Su Solehah) mempunyai cerita masing-masing semasa proses dikhatankan. Apa agaknya? Mana-mana cucu Cikgu Mat Pedu yang ingin tahu bolehlah tanya Wa Yon atau ayah Solehah.
2. Abang kedua Solehah sepatutnya dikhatankan lebih awal kerana ****** tersepit zip seluar ketika di Seri Malaysia Bayan Lepas semasa menjemput mama Solehah yang baru tamat berkursus di USM.
3. Rasanya abang-abang Solehah masih mengingati peristiwa tersebut.
4. Solehah belum dilahirkan ketika peristiwa tersebut.

Wednesday 24 November 2010

Personal: On 'Musim Cuti Sekolah'

~ Kak Odah & Emak (Mak Ngah Solehah) : 2010 ~
Musim cuti sekolah tiba lagi. Lazimnya, ada tiga aktiviti utama ketika musim begini iaitu: (1) peperiksaan SPM/STPM; (2) kenduri - khususnya kenduri kahwin; dan (3) melancong.
Kalau tak silap, dua orang sepupu Solehah (Syazwan & Farah Aisyah) terlibat dengan peperiksaan SPM 2010. Didoakan semoga mereka berjaya. Kesempatan juga diambil untuk ucap tahniah kepada sepupu-sepupu Solehah yang lain (Syafiqah, Arinah & Syauqi) yang baru-baru mendapat peperiksaan UPSR - jauh lebih baik daripada apa yang pernah ayah Solehah perolehi.
Banyak undangan majlis kenduri perkahwinan yang telah diterima - dah ada 23. Ada hari sampai tujuh & ada yang langsung tiada. Hanya satu keluarga terdekat yang adakan kenduri perkahwinan iaitu Tok Lang (perkahwinan Abang Iwan - refer previous post). Namun, nak ambil juga kesempatan (rasanya masih tak terlewat) untuk ucap tahniah kepada Kak Odah (juga sepupu Solehah) yang telah 'ditunangkan' & khabarnya minta 'dikendurikan' pada awal tahun 2011 nanti. 'Permintaan' yang mengembirakan Pak Ngah & Mak Ngah Solehah.
Untuk melancong, Solehah mungkin hanya dibawa ke Kelantan. Itupun kerana kebetulan abang sulung Solehah ada di rumah untuk tolong memandu. Kalau ada kesempatan, bercadang nak terus ke Narathiwat, Thailand menziarahi keluarga mama Solehah.
Catatan:
1. Post ini dibuat Grand Riverview Hotel, Kota Bharu - ketika sedang membawa Solehah makan angin.
2. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan akhir tahun Solehah menunjukkan sedikit peningkatan.
3. Dulu pasti & berani ke selatan Thailand. Namun sejak jadi wilayah bergolak, dah ...
4. Siapalah pula keluarga Solehah yang akan 'minta/bersetuju dikendurikan' lepas ni?

Sunday 21 November 2010

Jamung: On 'Criticise'

~ Izwan & Izzah : 20/11/10 ~
Pada tahun 2010, seorang kerabat Solehah (dipanggil Abang Iwan oleh Solehah walaupun pangkat bapa saudara) telah menamatkan zaman bujangnya. Gadis pilihannya bernama Nurul Izzah Ali.
Majlis akad nikah telah diadakan pada 30/10/10 yang lalu. Kelmarin (20/11/10) ialah hari majlis kenduri sebelah pengantin perempuan, sementara Sabtu yang akan datang (27/11/10) ialah majlis kenduri di rumah Abang Iwan.
Tahniah Abang Iwan & Kak Izzah daripada Solehah & famili. Selamat menempuh alam rumah tangga. Cepat-cepatlah ....
Bercerita tentang nikah-kahwin, teringat ayah Solehah akan kata-kata seorang kenalan kepada seorang rakan yang suka sangat 'mengomel' tentang isterinya (tentu setelah sudah lama berkahwin). Kata kenalan tersebut:
Please don't critise your wife. If she was perfect,
she surely would have married some one much better!
Catatan:
Punyalah serasi ... namapun hampir sama.

Saturday 20 November 2010

Personal: On 'Tok Jang Solehah'

~ Allahyarham Hashim Hj Hamid : Foto Aidilfitri 1431H ~
Datuk saudara Solehah (Tok Jang Hashim Hj Hamid) telah kembali ke rahmatullah pada petang Isnin, 18/10/10 yang lalu di kampung (Kg Pinang, Pedu). Arwah meninggal pada usia pertengahan 60-an kerana penyakit darah tinggi & selamat dikembumikan pada keesokannya (Selasa, 19/10/10). Al-fatihah.
Tok Jang Hashim merupakan seorang insan yang istimewa. Arwah mengalami penyakit mental sejak umur belasan tahun & pernah menjalani rawatan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan semasa mula-mula mendapat penyakit tersebut. Ayah Solehah (bersama tok wan, moyang & tok saudara Solehah - kini semuanya telah arwah) pernah melawat beliau di sana.
Kata orang, mereka yang sakit mental syurga tempatnya. Syurga sebenarnya hak Allah, namun diharapkan Allah dapat menempatkannya di syurga.
Catatan:
1. Walaupun sakit mental, Tok Jang tidak pernah dipandang rendah oleh kaum keluarga.
2. Walaupun sakit mental, arwah tidak membahayakan. Solehah agak rapat dengan arwah.

Tahfifah: On 'Bah'

~ Banjir Di Taman Uda : 04/11/10 ~
Majoriti kata 'banjir'. Namun bagi orang Kedah, mereka lebih selesa dengan perkataan 'bah'. Bah yang melanda Kedah pada awal November 2010 meninggalkan impak yang bukan sedikit kepada mereka yang terlibat. Solehah & famili turut (buat kali pertama) menerima tempiasnya.
Taman Uda (kawasan perumahan Solehah) turut ditenggelami air. Sebelum ini, Taman Uda bolehlah dikatakan kawasan selamat. Terakhir (seingat ayah Solehah) ialah pada tahun 2005 - itu pun air naik setinggi buku lali, hanya di laman & tidak memasuki rumah.
Bah kali ini ternyata berbeza. Air mula naik sekitar jam 8:00 malam (Rabu, 03/11/10). Menjelang subuh, seluruh kawasan Taman Uda sudah ditenggelami - rumah-rumah dimasuki air. Rumah Solehah dinaiki air sedalam lebih satu meter. Bah surut sepenuhnya hanya pada hari Ahad, 07/11/10.
Catatan:
1. Banyak pengajaran dapat ditimba dari peristiwa bah tersebut, khususnya kepada ayah Solehah yang tidak menduga yang air akan memasuki rumah.
2. Hingga ke hari ini (20/11/10) kerja-kerja membersihkan rumah belum sempurna sepenuhnya.